Tuesday, February 14, 2012




Aku telah diuji oleh Allah SWT. Ujian yang kurasakan begitu berat dan tak mampu kutanggung. Diagnosis penyakitku adalah Bipolar Mood Disorder Type II. Diagnosis pertamaku adalah Major Depression Disorder. Namun setelah kesku dibentangkan oleh pegawai perubatan yang merawatku kepada pakar-pakar dan pegawai-pegawai perubatan di Jabatan Psikiatrik PPUKM pada Januari 2007, mereka memutuskan bahawa penyakitku adalah Bipolar Mood Disorder Type II, bukannya Major Depression Disorder.

Penyakit ini dipandang serong oleh banyak pihak yang tidak memahami dan tidak mempunyai ilmu tentangnya. Maklumlah ianya dikategorikan di bawah golongan penyakit mental atau penyakit jiwa. Aku telah melakukan satu kesilapan kerana telah terkongsikan sedikit pengalaman yang aku lalui ketika seorang sahabat menceritakan bagaimana seorang hamba Allah yang tidak ingat Tuhannya sehingga sanggup membunuh anaknya kerana murung. Ada yang cuba bunuh diri kerana murung. Lalu aku turut menceritakan pengalaman aku aku tempuhi dan lalui sendiri. Respon dari mereka biasa saja malah bagiku, mereka juga memandang serong dengan apa yang aku kongsikan. Berbeza dengan sahabat yang kutemui di Kulim tempoh hari. Setelah berkongsi sedikit tentang penyakitku mereka mendoakan aku agar tabah dan boleh menghadapi dan keluar dengan jayanya dari ujian ini. Ini ujian istemewa menurut mereka.

Aku akui yang aku banyak berfikiran negatif dan banyak mengikut bisikan-bisikan syaitan. Aku gagal mengaplikasikan ilmu-ilmu yang telah kupelajari. Terlalu banyak program yang telah aku ikuti. Tapi aku gagal aplikasi dan laksanakannya. Mungkinkah ini ujian untuk aku renung kembali semua yang telah kupelajari. Mungkin jugakah Allah ingin menguji aku bagaimana nak mengaplikasikan dan bagaimana hendak mengamalkan semua ilmu-ilmu yang telah aku perolehi? Entahlah, Allah adalah sebaik-baik perancang. Dia lebih tahu.

Menurut Basmin sahabat baikku, orang-orang yang Allah sayang paling banyak diuji! Adakah semua takdir Allah ini adalah kerana Allah menyayangiku? Bukankah beruntung menjadi orang yang Allah sayang? Entahlah….kadang-kadang aku rasa penat jadi Raja Azliza ni. Dahlah sakit. Sakit yang tak nampak pada luarannya. Sakit yang membuatkan aku berfikiran negatif. Yang menjadikan aku seperti hamba yang tidak bersyukur. Hamba yang tidak bersabar dengan ujian. Ujian bukanlah satu bebanan sebenarnya tapi untuk mendekatkan lagi dengan Allah Yang Maha Esa. Dalam zikir mathurat pun ditegaskan bahawa Allah tidak membebani seseorang diluar kesanggupannya. Tetapi kenapa aku seperti masih belum dapat menerimanya? Kenapa Ya Allah? Bila masanya aku akan dapat menerima takdir yang telah Kau rancang untuk aku lalui? Aku serah padamu Ya Allah!

Lepas kembali dari Segamat, aku disahkan mengidap penyakit Bipolar Mood Disorder Type II. Kenapa? Kenapa Allah uji dengan penyakit ni? Penyakit yang tak nampak secara luarannya. Seingat aku, aku diuji ketika aku bekerja di KL pada pertengahan 2006. Sesuatu yang aku ingin lakukan. Aku sering berdoa dan bertekad untuk bekerja sepenuhnya dalam bidang dakwah kerana aku tahu kemampuan aku. Jadi aku rasakan bidang itu adalah bidang yang ingin aku ceburi. Tak penting walaupun gaji sikit tapi ganjarannya biarlah Allah sahaja yang mengurniakannya. Tetapi ditakdirkan, hanya sekejab sahaja aku dapat berkhidmat di KL. Aku terpaksa berhenti kerana penyakit ini!! Aku amat sayangkan pekerjaan aku ini. Tapi aku terpaksa lepaskan kerana aku sakit! Mungkin aku tak layak kerja di situ? Hanya Allah yang tahu…..

Mencari Mardhatillah 2


Ada kemungkinan kesembuhan belum datang kerana Allah masih mahu menguji sejauh mana aku bersabar dengan ujian yang diberikan. Terasa lelah melalui ujian ini. Iman aku tak cukup untuk redha dengan ujian ini. Kadang-kadang aku redha dengan ujian ini. Tetapi apabila aku tengah down sangat, aku seperti tidak redha diuji dengan penyakit ni. Aku telah berusaha untuk mengubatinya dengan berjumpa dengan pakar. Baik perubatan moden ataupun perubatan Islam.

Bermula dengan berjumpa Psikologi Klinikal iaitu Puan Azlina Roszy. Kemudian beliau merujuk aku ke PPUKM dengan berjumpa seorang pakar iaitu Dr Tuti Iryani kerana menurut Puan Azlina, selain khidmat psikoterapi, aku juga memerlukan ubat untuk menstabilkan bahan kimia dalam otak aku. Sudah hampir 5 tahun aku melalui liku-liku sebagai seorang pesakit Bipolar. Aku tidak juga sembuh-sembuh. Aku seperti sudah tiada doa lain yang ingin kupohon selain memohon pada Allah supaya dikurniakan kesembuhan dari penyakit Bipolar ni. Itu yang aku mohon 5 kali sehari dalam solat. Doa ni dah jadi wirid aku. Aku tidak mengetahui bila Allah akan mengabulkan permohonan aku. Yang pasti tiada siapa yang tahu hikmah disebalik ujian ini. Allah Maha Mengetahui atas setiap apa yang dirancangkan untuk hambaNya. Maka dengan itu janganlah berhenti berdoa. Doa itu senjata Mukmin!

Aku merasakan 5 tahun tu dah terlalu lama. Bila aku depress, aku seperti putus asa dengan usaha-usaha aku terutamanya dengan ubat-ubatan moden. Sudah terlalu lama aku makan ubat. Pelbagai jenis ubat telah aku makan. Jumpa pakar sekurang-kurangnya sebulan sekali, tetapi keadaan aku begini. Seramai 6 orang pakar yang telah mengendalikan kesku sejak 2006. Di PPUKM 2 orang, di Hospital Sultan Abdul Halim, 2 orang dan di Hospital Sultanah Bahiyah pula  adalah 2 orang. Keadaan aku tetap ada turun naiknya walaupun telah ditangani oleh beberapa pakar dan pegawai perubatan.

Sebenarnya aku dah tak ingat kenapa aku sakit dan macam mana aku mula-mula sakit sebab aku telah melalui Elektro Convulsive Theraphy (ECT) yang dikatakan dapat menyembuhkan aku. Aku lupa banyak sangat perkara kerana ECT. Aku merasakan aku seolah-olah seperti seorang yang hilang ingatan. Atau adakah aku terlupa kerana Allah telah mengabulkan permintaan aku? Sewaktu aku terlalu murung suatu ketika dahulu, aku sendiri yang meminta untuk dijalankan ECT dengan niat agar aku dapat melupakan semuanya. Entahlah. Allah sahaja yang tahu. Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Apa yang berlaku adalah ketetapan Allah.

Permohonan tetap harus aku teruskan kerana itu adalah tugas kita untuk meminta. Adakah Allah akan kabulkan permohonan aku ni di akhirat kelak? Adakah kebahagian dan ketenangan hanya akan diperolehi di akhirat nanti? Hanya Allah sahaja yang tahu. Sanggupkah aku menunggu sehingga di akhirat? Aku bukan nabi atau rasul. Aku hanya seorang hamba yang hina. Nabi dan rasul adalah orang yang paling banyak diuji. Aku dengan ujian yang kecil ini pun dah berputus asa. Ujian harus dilalui dengan sabar dan tabah. Selain Al-Quran, Sirah juga patut dijadikan panduan dalam menghadapi apa jua situasi.

Kata Dr Suriya, mungkin Allah ingin mentarbiyyah aku dengan penyakit ini dan mungkin juga sebagai persediaan untuk aku menjadi seseorang di masa hadapan. Tapi, ia hanyalah satu kemungkinan. Aku belum sembuh sehingga sekarang!! Mungkin hamba yang tidak bersyukur, tidak bersabar dan tidak tabah tidak boleh berada dalam jalan yang sangat mulia ni. Jalan para Nabi dan Rasul. Dakwah adalah tugas para nabi dan rasul. Maka kerja-kerja dakwah ni terlalu mulia dan aku tak layak untuk berada dalam jalan ni mungkin….

Mencari Mardhatillah 3


Kini, aku hanya berehat kat rumah tanpa melakukan apa-apa. Atas sebab aku tidak melakukan apa-apalah yang membuatkan aku murung sekarang. Aku merasakan bahawa diri aku tidak sama seperti orang lain. Aku sepatutnya bekerja dan membantu mama dan papa. Bukannya mama dan papa yang menanggung aku. Kawan-kawan yang sebaya aku semuanya bekerja. Aku nak bekerja pun bukanlah sebab duit. Tapi nak berkhidmat dan nak menjadi macam individu lain.

Menurut Dr Suriya, ada ramai graduan yang tak bekerja. So what? Namun bagi aku, tidak bekerja itu sesuatu yang membebankan. Kemana saja aku pergi, orang akan tanya: buat apa sekarang? Kerja apa? Adalah amat sukar bagi aku untuk menjawab yang aku hanya tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa. Tetapi hakikatnya memang aku hanya tinggal di rumah atau perkataan yang lebih tepat penganggur!

Memang diri aku orang yang agak tidak berguna rasanya. Cemburu aku tengok sahabat-sahabat aku di Kulim tempoh hari. Mereka mempunyai kerjaya masing-masing. Di samping tu, mereka tetap aktif dalam program-program kemasyarakatan daerah. Bagaimana pula dengan aku? Kerjaya tak ada sejak sakit! Itu pun baru kembali mengikuti usrah. Usrah je!

Kenapa aku jadi macam sekarang? Kenapa keadaan aku tak seperti dulu? Sebelum sakit? Sakit telah membantutkan banyak perkara. Yang utama adalah kerjaya dan penglibatan dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Kerjaya tak ada. Kerja kemasyarakatan pun tak buat. Nasib baik aku pergi ke Kulim minggu lepas. Sekurang-kurangnya aku turut terlibat juga di dalam aktiviti kemasyarakatan. Terutamanya yang membawa dan mendekatkan Islam pada anak-anak yatim tu. Sayu hati aku nak meninggalkan mereka. Ada yang mengharapkan aku datang lagi menjenguk mereka. Alangkah seronoknya kalau aku dapat buat lagi macam tu.

Raja Azliza……jangan membandingkan diri aku yang sekarang dengan yang dahulu! Itu adalah nasihat yang ditujukan untuk aku supaya aku tak sedih. Kenapa susah sangat nak buat? Terima diri seadanya. Sedaya upaya cuba jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Apa yang aku rasa sekarang adalah hari ini lebih buruk dari hari-hari semalam kerana aku hanya tinggal di rumah. Adakah aku harus berterus terang apabila ada yang bertanya….apa aku buat sekarang? Dah abis belajar? Tak bekerja? X juga sakit dan tak bekerja seperti aku. Tapi X sakit fizikal! Orang nampak yang dia sakit! Seingat aku, dia sakit buah pinggang. Bagaimana pula dengan aku? Aku sakit Bipolar. Bipolar tu apa?

Ya Allah, kenapa aku asyik memiikirkan tentang dulu-dulu? Dulu aku sihat, oleh sebab itu dulu boleh. Sekarang, tak boleh sebab aku sakit. Tapi penyakit ini Allah juga yang memberinya. Kenapa Kau ingin mengujinya, hanya Kau yang mengetahui. Aku masih belum tahu jawapannya. Tetapi kesedihan aku menjadi seorang pesakit Bipolar tetap aku rasakan. Pesanan yang aku harus ingat, jangan asyik membandingkan diri yang dulu, diri yang sihat dengan diri yang sekarang.

Kenapa dengan jiwa aku. Jangan layan bisikan syaitan. Baca Surah An-Nas bagi mengelakkan gangguan syaitan terlaknat. Now, Stop from think negative dengan teknik pernafasan dan Emotional Freedom Technique (EFT). Redha dengan ketentuan Ilahi. Ingat surah Alam-Nasyrah: sesudah kesulitan ada kemudahan. Insha Allah. Setelah aku lalui kesusahan dan kepayahan ini, akan ada kemudahan yang menyusul. Aku hanya perlu bersabar. Tetapi yang aku rasakan sekarang agak payah untuk bersabar! Bila kemudahan tu nak datang? Allah sahaja yang mengetahui. Dia masih mahu menguji aku. Tapi sampai bila?? Sampai aku mati? Aku tidak ingin mati dalam keadaan yang tidak redha dengan qada dan qadar Allah. Aku seboleh-bolehnya ingin redha seperti yang Dr Suriya cakapkan padaku suatu ketika dulu. Entahlah. Apa nak jadi dengan diriku? Masih mempersoalkan apa yang diaturkan Allah. Ampunkanlah aku Ya Allah.

 

Mencari Mardhatillah 4


Zikir. Doa. Itu adalah di antara yang aku harus lakukan dalam mengubati diriku. Aku tak boleh putus asa untuk berdoa. Aku tak boleh berputus asa dengan rahmat Allah. Ya Allah, Kau berkatilah usaha-usahaku dalam menyembuhkan diriku ini.

Usrah minggu ni Alhamdulillah. Aku sudah tidak merasakan seperti minggu lepas. Minggu lepas aku menangis dalam usrah bila terkongsikan tentang pengalaman diriku. Kini, aku dapat lupakannya. Allah masih sayang padaku. Seingat aku, aku banyak melakukan kesilapan sewaktu aku murung yang melampau suatu ketika dulu. Aku seolah-olah telah berputus asa dalam mengharungi liku-liku hidup. Walaupun, pada waktu itu aku telahpun berada dalam sistem tarbiyyah. Tarbiyyah yang dirancang oleh Allah. Aku perolehinya sewaktu belajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Kemudian, waktu bekerja di Fakulti Pendidikan UKM, ketika itu aku masih berada dalam sistem tarbiyyah. Selepas itu, penerusan tarbiyyah aku seterusnya aku lalui di Segamat. Ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik penyakit yang kualami ini. Ada hikmah barangkali yang tersembunyi di sebalik Bipolar yang kualami ini. Hikmah itu masih belum dapat aku teroka. ALLAH SAHAJA YANG MENGETAHUINYA. Orang di sekeliling pun tidak akan tahu. Ahli keluarga dan kerabatku juga tak tahu. Mereka hanya boleh menghakiminya. Pelbagai tanggapan aku telah lalui.

Semasa aku sedih selepas usrah minggu lepas, ia menyebabkan aku rindu pada Puan Azlina dan Dr Tuti. Mereka sahaja yang aku rasa dapat memahami apa yang aku rasai, yang aku lalui dan yang aku hadapi ini. Tetapi, takdir telah menentukan yang mereka telah terbang jauh dari Malaysia. Aku hanya boleh berhubung melalui emel.

Sekali lagi diingatkan, Jangan membandingkan diriku yang dahulu dan sekarang!!! ALLAH IS ALWAYS NEAR and WITH ME!! People can come and go but ALLAH IS THERE TO BE WITH ME!


Mencari Mardhatillah 5


Kini setelah lebiih kurang 6 tahun aku melalui penyakit Bipolar, aku semakin matang. Aku sedar ini adalah ujian untuk aku lalui. Ujian untuk mendekatkan aku dengan Allah. Ujian yang akan membuatkan aku lebih mengingati Allah.

Tetapi, apa yang kukesalkan adalah: setelah sakit ini menyerangku, aku sudah tak boleh terlibat dengan kerja-kerja yang sering kulakukan dulu. Kerja-kerja yang membawa aku dan masyarakat kepada Islam. Aku juga takut sekiranya aku mati ketika aku tidak melakukan kerja-kerja tu sebab itu adalah kerja yang dituntut untuk tidak menjadi orang yang rugi seperti yang disebut dalam surah al-Ars. “Demi Masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. KECUALI Orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan kesabaran.” Aku tidak mahu menjadi orang yang rugi. Berpesan kepada kebenaran dan kesabaran adalah tugas wajib bagi setiap manusia. Itupun kalau tidak mahu tergolong dalam golongan yang rugi….

Ubat. Sampai bila aku harus makan ubat? Itu yang akan kutanyakan pada doktor Isnin ini. Aku juga akan minta untuk berjumpa dengan pakar psikiatrik: Dr Salwa. Aku nak bincang tentang penurunan dos ubat. Dan seterusnya mungkin boleh berhenti. Lagipun, di hospital Sungai Petani ini, aku tidak mendapat perkhidmatan seperti apa yang aku dapat di KL dan apa yang aku dapat dari Puan Azlina. Jadi, bukankah berhenti dari berjumpa adalah lebih baik? Cuma jumpa sekejab. Tanya sihat ke tak? Makan ubat ke tak? Itu je. Kemudian, ke farmasi untuk ambil ubat. Ubat sahaja tak membantu kata Kak Azlina. Untuk pulih aku perlukan lebih dari itu iaitu sesi psikoterapi. Psikoterapi adalah untuk mengubah cara fikir yang salah dan melatih berfikir dengan betul.

Ampunkan aku Ya Allah. Kaulah Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Pengampun, Maha Bijaksana. Kau adalah sebaik-baik perancang. Kau yang lebih tahu setiap aturanMu ini. Aku berserah padamu dalam semua hal. Aku telah berusaha sedaya aku, Kau yang berhak menilainya setelah usaha yang kulakukan.

 

Mencari Mardhatillah 6


Hari ini, apa yang aku dapat dari 2 rancangan forum tadi ialah ingat akan Allah dengan berzikir dan doa. Istimewanya zikir dan doa ialah kita akan mengingati Allah. Untungnya mengingati Allah dari mengingati manusia adalah: apabila sahaja kita teringat pada Allah dan terus menyebut keagungannya, pasti Allah akan mengingati kita juga. Berbeza pula keadaannya apabila kita mengingati seseorang manusia yang lain, belum tentu saat kita sedang ingatkan akan dia tu lalu dia pun ingatkan kita. Itu juga sesuatu yang harus aku nilai kembali kerana aku sering mencari manusia apabila aku murung atau sedih. Sebabnya, aku juga sering ingatkan manusia lain. Tetapi itu tidak bermakna aku tidak mengingati Allah. Itulah kelebihan mengingati Allah.

Kesimpulannya!! Zikir dan ingatlah pada Allah. Ujian ini pun mungkin kerana aku agak leka dan lupa padaNya. InshaAllah, dalam usrah pun dibincangkan kitab tauhid yang menceritakan tentang keagungan Allah dengan semua ciptaan-ciptaanNya. Usrah juga sebenarnya membuatkan kita ingat pada Allah. Sesungguhnya, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang!

Ya Allah! Aku hamba yang lemah. Kau uji aku dengan ujian yang tak tertanggung lagi. Kenapa aku, yang berada dalam tarbiyyah dan berada dalam jamaah turut diuji dengan penyakit Bipolar ni? Kenapa aku tidak sakit sebelum aku mendapat tarbiyyah? Tarbiyyah yang ada sepatutnya membentengi aku dari sakit seperti ini.

Aku sudah tidak sama dengan diriku yang dulu. Banyak perkara yang terbantut. Ditakdirkan kali ni, aku berjumpa pakar lain kerana Dr Sham, Dr Rohaya dan Dr Firdaus pergi kursus. Dr Salwa yang juga kawan kepada Dr Tuti banyak memberi info pada aku. Info yang menambahkan lagi pengetahuan aku. Tentang ubat, sebagai seorang pakar, memang beliau tidak mengizinkan untuk berhenti dan mengurangkan dos tu. Katanya, sekurang-kurangnya 9 bulan aku kena makan dalam dos yang sekarang. Kali ni merupakan perjumpaan yang paling lama aku dengan doktor di Sungai Petani ni. Dan aku rasa, Dr Salwa lebih peramah dan sudi mendengar luahan aku. She listen to everything. Dia mendengar luahan aku dan memberi komen terhadap apa yang aku luahkan. Malangnya, aku banyak lupa dengan apa yang dibincangkan tadi……………..lupa!!

 

Mencari Mardhatillah 7

 

Lagu nasyid dari kumpulan Inteam: Segenggam Tabah! Hanya segenggam?? Rasanya tidak cukup. Bagi aku, untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran dan rintangan ini tidak cukup dengan hanya segenggam tabah tapi memerlukan selautan atau berjuta ketabahan, kesabaran, kekuatan dari Allah dan juga pergantungan sepenuhnya HANYA padaNYA.

Menulis atau bercakap memang mudah, tetapi apabila tiba masanya, pelbagai perkara yang tak pernah diduga akan berlaku. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, "expect the unexpected". Apabila ujian yang bertali arus untuk menguji sejauh mana keimanan, ketaqwaan dan rasa kehambaan padaNYA. Dirasakan seperti tidak mampu lagi untuk meneruskan. Bukankah Allah menjadikan kita untuk diuji? Allah ingin menguji ketaqwaan kita kerana harga syurga Allah begitu mahal.

Lirik lagu nasyid ini sedikit sebanyak menyedarkan aku betapa kita ini benar-benar memerlukan Allah. Hanya dengan izin Allahlah semua apa yang berlaku. Kita ditugaskan untuk berusaha tanpa rasa jemu dan berputus asa. Selebihnya berserah serta bertawakal padaNYA. Kita hanya insan kerdil yang tidak mempunyai apa-apa. Apa yang ada pada kita sekarang pun hanyalah bersifat sementara dan semuanya adalah dari Allah. Ramai di antara kita yang terpesona dengan dunia yang bersifat sementara ini. Kita lupa akan kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak.

 

Mencari Mardhatillah 8

 

Aku kini bergerak menuju ke utara di dalam keretapi. Sudah lama aku tidak menulis. Terasa ingin menulis dalam keretapi ni. Sekali lagi aku sukar untuk membuat keputusan. Mama dan Man menginginkan aku berubat dengan seorang ustazah. Rawatan cara sufi katanya. Apa yang aku makan selama ni, semuanya dadah yang akan merosakkan badan aku. Hati aku berat untuk berubat cara ustazah tersebut. Bukan aku tidak mempercayai cara perubatan ustazah tu, tetapi syarat pengubatan ustazah adalah aku harus berhenti rawatan dengan pakar kerana aku tidak boleh mencampurkan ubat ustazah dengan ubat-ubatan dari pakar tersebut.

Amat susah untuk aku buat pilihan. Aku dah consult dengan Dr Suriya dan Basmin. Dr Suriya sangsi. Basmin pula menyatakan bahawa beliau kurang arif dan suruh tanya doktor yang sedang menangani aku. Dr Salwa memang ada berpesan agar menghubungi beliau dahulu sebelum hendak membuat sebarang keputusan yang besar-besar dan penting.

Sejak tukar anti kemurungan (sejenis ubat) lain ini aku rasa ada perubahan pada diriku. Aku sudah tidak memikirkan perkara yang tak perlu aku fikirkan. Alhamdulillah. Selepas 2 minggu makan Cymbalta (anti kemurungan), Dr Sham pula menukarkan Anti Psychotic (sejenis ubat) yang telah diupgradekan dari Olanzapine. Namanya Olanzapine Zydis. Katanya ubat ini mungkin tidak memberi kesan kepada berat badan aku.

Ini semua kerja Allah. Aku dah berusaha dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Berserah sepenuhnya pada Allah. Syukurku panjatkan pada Ilahi kerana telah memberkati usahaku selama ini.

 

Mencari Mardhatillah 9


Manusia adalah sebaik-baik ciptaan. Allah telah memberi penghormatan dengan meminta malaikat dan iblis sujud pada Nabi Adam as. Bukankah itu menunjukkan manusia ini mulia? Mulia sekiranya menjadi hamba yang taat pada penciptaNya. Ujian demi ujian yang harus aku lalui. Selagi kita bergelar manusia dan hamba Allah, kita takkan lari dari ujian ini. Dengan sabar dan solatlah kita dapat lalui ujian yang diberikan. Sabar. Berapa lama lagi aku harus bersabar Ya Allah. Aku tak kuat. Aku hambaMu yang lemah. Aku cuma manusia biasa yang inginkan ketenangan. Aku bukanlah Nabi Ayyub a.s yang tahan dan bersabar tika diuji.

Aku berasa sembuh hanya sekejab. Masa aku jumpa Dr Salwa bulan lepas aku meminta agar aku tak perlu jumpa sebulan sekali. Tapi mungkin 2 atau 3 bulan sekali. Maka, Dr Salwa pun memberi temujanji yang lewat sedikit. Aku merasa gembira dan excited masa nak mula latihan di Kulim. Tetapi Allah uji sekali lagi secara tiba-tiba. Di saat aku gembira berada dalam bulan Ramadhan. Gembira berbuka bersama-sama sahabat di rumah ustazah. Ujian datang lagi…..

Rupanya keadaan aku masih belum stabil dan sembuh. Walaupun aku berasa sembuh ketika itu, mungkin sebenarnya aku belum sembuh. Menurut Dr Salwa. Pihak Dr Salwa dan Dr Sham telah melakukan kesilapan kerana terlalu cepat menurunkan dos ubat aku. Dr Sham yang turunkan dos Epilim dari 2 biji sehari kepada 1 biji sehari. Sebelum tu, Dr Salwa tukarkan anti kemurunganku dari Prozac kepada Cymbalta. Waktu menukarkannya, memang aku dapat rasakan perubahan dan waktu tu jugak aku rasa sembuh dan stabil sehingga dapat jalani latihan dan mintak jarakkan perjumpaan dengan doktor.

Ah, itu semua hanya andaian. Allah Maha Mengetahui. Kita ni milik Allah. Allah Maha Bijaksana. Dia masih mahu menguji aku. Dia mahu melihat sejauh mana tahap kesabaran dan ketaqwaan hambanya. Berusaha dan teruskan berusaha. Ingat akan janji-janji Allah. Teruskan berusaha dan berdoa. Itu hak kita. Hak Allah untuk makbulkan atau belum lagi. Bila Allah akan kabulkan hanya Dia yang tahu. Kita semua makhluk ciptaanNya. Jadi, apa nak dihairankan? Dia yang mentadbir seluruh alam ini.

 

Mencari Mardhatillah 10


Hari ni, kali pertama aku berseorangan di rumah. Nasib baik ada kucing kesayanganku si Tam.  Semalam, papa, mama, abang long dan adik Man pulang berhari raya di Klang. Papa nak jumpa bondanya di rumah ucu. Aku tak dapat ikut sebab keesokan harinya ada temujanji dengan Dr Salwa dan lusa, aku akan mulakan latihan aku kembali di Kulim.

Esok aku akan berjumpa Dr Salwa. Entah kena aku berasa berdebar. Tidak tahu apa yang akan berlaku esok. Harapan aku sangat tinggi. Seperti biasa aku memang sering meletakkan harapan yang tinggi dalam banyak perkara. Tentang ubat, aku rasa tiada perubahan akan dibuat. Ya Allah, Kau berkatilah usahaku yang tak seberapa ini. Aku hanya inginkan redhaMu.

Aku akan terus berusaha. Berusaha untuk sihat. Selebihnya, aku harus berserah dan bertawakal padaNya. Yakin pada janji Allah. Dalam surah At-Thalaq ayat 3, Allah berfirman yang bermaksud: " Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang BERTAWAKAL kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."

 

Mencari Mardhatillah 11


Hari ni hari keempat aku kembali menjalani latihan di Kulim. Aku berjaya melaluinya. Alhamdulillah. Kesyukuran kupanjatkan pada Ilahi. Aku kembali pulih sedikit. Semua ini adalah anugerah Allah yang amat berharga buatku. Fikiranku kembali optimis.

Sewaktu berjumpa dengan Dr Salwa beberapa hari yang lepas, tidaklah begitu elok perasaanku. Malah Dr Salwa kecewa dengan sikap aku yang tidak makan ubat seperti yang diarahkan. Bukan sengaja aku tak mau makan ubat ikut arahan, tapi aku tak mau kesan sampingan ubat tu mengganggu perjalanan aku untuk turut merebut tawaran Allah di akhir Ramadhan.

Perbincangan aku agak lama kali ni. Aku menyatakan hasrat untuk berubat dengan rawatan alternatif kerana aku dah penat dengan rawatan hospital. Aku teringat masa awal perjumpaan aku dengan Dr Salwa dulu, dia ada meminta untuk aku memberi peluang kepada mereka untuk merawat aku. Aku jadi serba salah. Mana satu aku harus pilih? Sikapku yang amat susah untuk membuat keputusan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk. Langkah pertama yang aku lakukan adalah meluahkan pada Allah Yang Maha Esa. Dia lebih tahu keadaan hambaNya. Kemudian, aku consult dengan Dr Suriya. Aku sedikit lega.

Pesanan Basmin yang sentiasa aku ingat iaitu bersabar dan optimis untuk lulus keluar dari ujian ni. Bagiku, setelah apa yang aku lalui, agak sukar juga untuk sabar dan optimis.Tetapi bukankah Allah mencipta ujian sesuai dengan diri kita sendiri?

Tapi, aku perlu berusaha!! Terus berusaha tanpa rasa jemu. Walaupun sebenarnya aku dah jemu dengan rawatan di hospital. Ya Allah, perjalanan menuju redhaMu penuh ranjau dan duri. Ujian yang Kau berikan adalah untuk menguji sejauh mana kesabaran hambaMu ini menerima segala qada’ dan qadarMu. Ampunkan aku Ya Allah….

 

Mencari Mardhatillah 12


Rakan. Sahabat. Kawan. Teman. Apa lagi yang seerti? Rakan, sahabat, teman dan kawan memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, kawan mencerminkan kehidupan kita. Berkawanlah dengan mereka yang boleh membimbing dan membawa kita kepada taqwa dan keredhaan Allah.

Dalam aku menggapai redha Allah, sahabat-sahabat banyak membantu. Sahabatlah yang membawa aku ke dalam tarbiyyah. Aku mula mengenal Islam yang sebenar. Benarlah bahawa istilah “teman seakidah lebih kuat dan utuh berbanding ikatan persaudaraan”. Aku akuinya bila aku mula berada dalam tarbiyyah. Itulah anugerah Allah yang berharga buatku.

Anugerah – Durrani      
Hadirmu wahai teman memberikan kekuatan
Di kala ku perlukan sokongan dan bantuan
Di dalam kesulitan engkau tunjukkan jalan
Tiada kata untuk kulafazkan
Kiranya ku aur engkau adalah tebing
Itulah hakikat kita saling perlukan
Inilah persahabatan anugerah Tuhan
Untuk hamba yang inginkan kebahagiaan
Hubungan terjalin dengan diri terpimpin
Persengketaan adalah dugaan
Dengan iman di hati amalan dibaiki
Terjalinlah satu ikatan murni

Dalam kesempatan ini, aku ingin memohon seribu kemaafan daripada sahabat-sahabat yang pernah bertemankan aku sekiranya aku melakukan kesalahan. Samada secara sedar atau tidak sedar. Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa yang sering melakukan kesilapan atau kesalahan. Malah, dalam mencari mardhatillah aku sering alpa dengan janji-janji Allah dalam manual book kita yakni Al-Quran.

Mencari Mardhatillah 13

 

Sudah lama aku tidak update blog. Sebabnya, sibuk mencari kerja dan tak ada idea untuk menulis. Esok, aku akan mulakan program Train and Place di Pulau Pinang pula. Satu bidang baru dan sesuatu yang pernah aku fikirkan semasa sekolah dulu. Paralegal Practice. Selesai program ini, aku boleh bekerja sebagai pembantu peguam. Kalau ada rezeki. InshaAllah.

Sabtu lepas, Basmin, Ram, Welma dan Qama aku bawa ke rumahku di Jitra. Saja jalan-jalan. Rancangan saat akhir malam tu, kami meraikan hari lahir Basmin beramai-ramai dengan papa dan mama sekali. Ram pulak ditugaskan untuk menjadi ketua chef. Hampir jam 10 malam juga dinner malam tu. Puas nak diabiskan lauk-pauk dan kek hari lahir Basmin.

Esoknya, kami beramai-ramai bertolak ke Sungai Petani. Aku ada temujanji dengan Dr Salwa. Selepas Ram menghantar aku ke hospital, mereka pergi ke taman tema air The Carnival. Perjumpaan aku dengan Dr Salwa biasa saja. Dia nampak aku stabil. Sekali lagi aku request nak turunkan dos. Dia tak setuju. Dia tidak mahu membuat kesilapan macam seperti dulu. Apabila nampak stabil sahaja terus nak turunkan dos. Kami juga bincangkan soal kerja. Kerjaya sebagai guru Dr Salwa nampak kurang sesuai. Confuse aku. Kerja apa yang aku boleh buat? IT dah tak pandai. Aku tidak mempunyai banyak pilihan. Sebab itu doa aku pada Allah agar aku peroleh pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan dan keupayaan aku. Itu doa aku setiap hari selain berdoa untuk kesembuhan aku.

 

Mencari Mardhatillah 14

 

Pagi tadi temujanji aku dengan Dr Salwa. Sudah 2-3 hari aku menanti untuk berjumpa dengannya. Tetapi, aku kecewa kerana Dr Salwa bercuti. Aku ambil keputusan untuk tidak berjumpa dengan mana-mana doktor pun. Aku kembali ke kereta dan memandu keluar dari hospital. Walaupun aku merasa rugi datang jauh-jauh tetapi tak buat apa-apa. Lalu, aku menghubungi papa. Papa tak mengizinkan aku pulang begitu sahaja. Lalu aku kembali memandu menuju ke hospital. Aku tunggu dengan sabar untuk berjumpa dengan pegawai perubatan. Akhirnya, bukan pegawai perubatan yang aku jumpa, hanyalah pembantu perubatan yang tergopoh-gapah nak masukkan ubat dan nak aku keluar dengan cepat. Sekali lagi aku kecewa.

Dalam perjalanan pulang, aku sedih dengan apa yang berlaku hari ni. Aku patutnya “Expect the unexpected”. Ini adalah ujian juga untuk aku. Ujian untuk menguji ketahanan mental dan untuk menguji kesabaran aku. Apa yang aku mampu hanyalah menangis dan mengadu pada Allah. Allah yang merancang semua ini untuk aku. Untuk aku lalui bagi meningkatkan ketahanan jiwa dan mental aku. Aku sangkakan yang aku sudah sembuh dan tak sabar untuk menurunkan dos Anti Depression, Mood Stabilizer dan Anti Psychotic. Rupanya, kejadian ini membuatkan aku fikir kembali sama ada sesuai atau tidak aku turunkan dos.

Kelmarin, dalam perjalanan pulang juga, aku diuji. Aku mendapat sms yang membuatkan aku sedih. Terasa sangat down. Aku hanya mampu mengadu pada Allah. Dia Maha Mengetahui. Sms yang aku terima tu membuatkan aku berfikir lagi. Rupanya aku belum sembuh. Dua kejadian ini adalah indicator bahawa aku belum sembuh atau pulih. Aku mudah terasa, sedih, lalu menangis. Saat aku sedih, seperti biasa, aku terasa untuk berjumpa Dr Suriya atau Puan Azlina. Tapi, mereka jauh. Puan Azlina hanya boleh dihubungi melalui email. Dr Suriya pulak hanyalah sms. Allah mentakdirkan orang yang faham dan boleh bantu aku tinggal jauh.

Ya Allah, Kau kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk aku meneruskan liku-liku kehidupan dalam menggapai redhaMu. Aku ingin hidup dalam dakapanMu Ya Allah. Kau yang menciptakan aku, maka Kau jualah yang lebih mengetahui apa yang terbaik buatku. Aku berserah sepenuhnya padamu Ya Allah….

Mencari Mardhatillah 15


Esok, genap 5 hari aku memulakan tugas di Vads yang bertanggungjawab untuk TM dalam melayan servis pelanggan. Aku keliru adakah aku layak untuk meneruskan tugas ini. Aku gagal dalam assessment yang pertama. 3 orang yang gagal akan berjumpa dengan trainer yang bertanggungjawab esok. Setelah aku mengetahui aku di antara 3 orang tersebut, aku terus down sangat. Pemikiran negatif kembali dalam minda aku. Rasa tak berguna dan sebagainya. Aku sms pada Dr Suriya dan Ustazah Norsyam. Mereka juga memberi kata-kata perangsang pada aku. Aku merasakan seperti tidak layak untuk kembali bangkit setelah mengetahui tentang keputusanku itu.

Ini merupakan ujian lagi buatku. Untuk menguji tahap kesabaran aku. Aku tak sempat studi sebab aku ada usrah malam sebelum assessment tersebut. Kemudian usrah selesai pun dah pukul 11 malam. Sebelum tidur, aku sempat studi sekali imbas sahaja sebab keletihan. Tidur hanya sebentar, aku terpaksa bersiap sedia untuk ke tempat kerja pulak. Memang masa studi untuk aku hanya sedikit. Allah ingin menguji keteguhan aku di jalanNya. Untuk terus berada di jalan yang penuh ranjau ini, aku harus melalui pelbagai ujian dan rintangan. Papa menyalahkan usrah dan program yang aku ikuti. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Allah yang merancang semua ini untuk aku lalui. Begitu juga dengan penyakit yang aku hidapi ini. Aku sepatutnya beruntung kerana terpilih untuk diuji dengan penyakit yang bernama Bipolar ini. Aku tidak tahu aku berada dalam fasa apa sekarang. Saat-saat sukar aku telah laluinya. Sepanjang 6 tahun ini, sekarang baru aku merasa sihat. Kemudian aku dapat kerja, sesuatu yang aku inginkan setelah merasa sembuh. Tetapi, hari keempat aku diberitakan tentang orang yang gagal mencapai tahap yang diinginkan oleh majikan. Aku memang dapat merasakan bahawa aku di antaranya! Saat sukar kembali dalam hidupku. Aku merasakan aku sudah terlalu tua untuk kembali ke alam pekerjaan. Lagi pulak, untuk kerja ini, aku harus melalui training selama 43 hari. Untuk assessment pertama, aku GAGAL!! Adakah ini indicator bahawa aku tak layak bekerja kerana sakit?

Mencari Mardhatillah 16


Kelmarin, satu lagi memori hitam berlaku dalam hidupku. Aku diberhentikan dari Vads, anak syarikat TM. Ini adalah kerana aku pesakit Bipolar Mood Disorder Type II. Terasa sangat berat ujian yang Allah berikan padaku. Tidak ada ruangkah untuk pesakit mental seperti aku untuk berada dalam masyarakat? Kenapa pesakit mental sering disalah ertikan serta sering dilayan sebegini? Bagaimana pesakit seperti aku hendak pulih kalau tidak diberi ruang dan peluang? Aku hanya pengidap Bipolar, bukannya gila ataupun Skezofrenia. Sewaktu aku jumpa doktor di hospital kelmarin, dia kata kalau pesakit Bipolar, tak perlu declare pada majikan yang kita ni ada penyakit Bipolar. Adalah menjadi kesilapan aku kerana sudah memberitahu pada majikan hari kedua bekerja bahawa aku adalah pesakit Bipolar.

Satu tamparan hebat buatku. Aku hanya mampu menangis. Aku meluahkan pada Basmin, Dr Suriya, Ustazah Norsham dan Ustazah Latifah naqibahku di Kulim. Ketika itu memang aku sangat murung. Aku mendapat kata-kata peransang dari mereka. Ini semua ujian dari Allah. Aku merasakan ketika itu, pesakit macam aku tak ada ruang lagi untuk maju. Aku ingin bangkit semula setelah berehat hampir setahun. Apabila aku dapat tawaran ni, aku sangat gembira kerana ia merupakan impian aku sejak aku kembali pulih. Tetapi, kegembiraan aku hanyalah sementara. Tak sampai seminggu pun aku bekerja.

Adakah ini nasib pesakit seperti aku? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia yang mengaturkan semua ini. Dengan kehendakNyalah berlakunya semua ini. Ini juga merupakan tarbiyyah dari Allah. Untuk menjadikan aku lebih kuat dan tabah. Untuk mendidik aku agar menerima segala qada’ dan qadar dari Allah. Bukankah beriman dengan qada’ dan qadar adalah wajib buat semua mukmin? Maka, aku harus terima bahawa ini adalah sebahagian dari qada’ dan qadar Allah.

Sebaik sahaja berhenti dari Vads, aku terus pulang ke bilik sewa dan terus mengemas semua barang-barang untuk bersedia pulang ke Jitra. Memandangkan aku sudah tidak diberi peluang lagi, maka apa yang terbaik ketika itu adalah balik ke pangkuan papa dan mama. Merekalah selama ini yang memberi kekuatan dan semangat padaku. Inilah liku-liku yang harus aku lalui untuk menggapai redha Allah.....

Aku takkan berdiam diri. Kata Dr Suriya, kalau di UK tindakan Vads boleh disaman kerana ia merupakan diskriminasi. Mereka langsung tidak memberi peluang buat aku. Aku cuba jugak mohon agar diberi ruang dan satu lagi peluang, tapi oleh kerana aku “sakit”, maka mereka tak boleh bagi peluang. Mereka takut rugi. Rugi membayar gaji aku dan takut aku tak mampu lakukannya. Dr Suriya juga bagitau aku boleh buat aduan di Jabatan Tenaga Rakyat. Selain itu aku juga akan menulis pada media apa yang telah mereka perlakukan padaku. Aku bukanlah berniat untuk mendapatkan balik jawatan itu tetapi aku nak mereka tidak lagi memandang rendah dengan pesakit mental seperti aku.

Mencari Mardhatillah 17


Aku kini dalam perjalanan dari Arau ke Klang menaiki keretapi bersama papa dan mama. Semalam, aku berjumpa dengan Dr Salwa. Lega rasanya. Tapi yang tak bestnya, Dr Salwa menambah lagi satu anti kemurungan– Dothiepin Hcl sebanyak 50mg. Bagi aku iany satu dos yang tinggi. Dr Salwa kata ubat baru ni bertindak pada reseptor lain. Dr Salwa juga menyuruh aku melakukan aktiviti dalam MoodGym.com. Lepas buat questionnaire tu dalam MoodGym.com, cetak keputusannya dan bawa berjumpa Dr Salwa minggu depan. Temujanji selang seminggu sebab Dr Salwa nak tengok kesan ubat baru tu pada aku.

Selain tu aku juga request nak buat ECT atas sebab aku nak lupakan peristiwa aku diberhentikan dari Vads. Buat ECT? Pastikah Allah akan delete memory tu? ECT sebelum ni pun Allah delete certain memory je. Tapi aku boleh doa kan?? Impact yang besar juga pada aku tentang diberhentikan ni. Pengalaman pertama aku. Baru berkhidmat baru 4 hari. Sedihnya hanya Allah sahaja yang tahu. Aku hanya mampu pasrah dan berdoa pada Allah. Allah masih mahu mengujiku. Mungkin juga tempat tu tak sesuai dengan aku walaupun aku benar-benar suka akan kerja ni malah telah memasang cita-cita untuk tidak terus berada di tahap Customer Service Representative (CSR). Tapi semua ni perancangan Allah. Allah adalah sebaik-baik perancang. Dia merancang yang terbaik buatku. Dia Maha mengetahui. Dia Maha penyayang. Takkan Dia akan rancang dan lakukan sesuatu yang buruk untukku. Itu adalah mustahil!

Nampaknya aku sudah boleh terima hakikat aku dah tidak lagi bekerja dengan Vads di Komtar. Mungkin sesuatu yang kita suka tu Allah benci dan mungkin sesuatu yang kita benci tetapi sebenarnya baik untuk kita. Allah juga menguji hambanya sesuai dengan keupayaan seseorang hambanya. Ya ALLAH, ampunkan aku kerana sebelum ini aku tidak bersyukur dan redha akan takdirmu. Ini merupakan qada’ dan qadar dariMU. Ini juga merupakan keimanan kita kepada rukun Iman yang keenam.

 

Mencari Mardhatillah 18


Sedih. Tangisan. Menangis. Sad. Sadness. Crying. Semuanya membawa maksud yang hampir sama. Tabah dan sabar pula ungkapan yang sering diajukan pada aku. Dalam satu program yang aku hadiri, aku menangis ketika seseorang membaca surah Al-Fatihah dan meminta untuk membuat skrip sendiri dengan Allah ketika mendengar bacaan itu. Sangat tersentuh dengan bacaan yang mendayu tersebut. Tersentuh kerana ujian yang Allah turunkan padaku adalah kerana Allah sangat-sangat menyayangiku. Dengan rahmat dan kasih sayang Allahlah aku masih menghirup udaraMu ya Allah.

Surah yang paling powerfull. Ummul kitab. Ummul Quran. Induk Al-Quran. Apabila membacakan Al-Fatihah dan dihembuskan pada air kosong, inshaAllah air itu menjadi penawar. Tertanam di jauh lubuk hatiku ingin mendalami, memahami, mempelajari dan seterusnya menghayati isi kandungan Al-Fatihah kerana Al-Fatihah boleh memberi impak yang besar dalam kehidupanku. Al-Fatihah boleh membentuk peribadi manusia.

Pernahkah kita terfikir kenapa kita mengulangi surah ini sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali sehari semalam? Pasti ada hikmah yang tersembunyi yang masih belum kita sebagai hambanya menerokainya. InshaAllah sekiranya ada peluang, aku akan mendalami surah ini. Inilah yang harus dilakukan untuk menggapai redha Ilahi.

 

Mencari Mardhatillah 19


Alhamdulillah. Kini, aku kembali semula ke rumah setelah beberapa hari bermusafir ke Shah Alam menjenguk nendaku serta menghadiri kenduri di sana. Entah kenapa hari terakhirku di Shah Alam dan disambung dengan hari-hari seterusnya di rumah, aku merasa sedih. Bila sedih, aku luahkan pada sahabatku yang tidak jemu-jemu membantu dan menasihatiku. Apapun yang aku lakukan, aku harus kembali kepada Allah dalam menggapai redha Allah.

Hari ni dan semalam aku sedikit pulih. Ubat aku makan seperti biasa. Tapi, pengharapanku kuserahkan sepenuhnya pada Allah. Dr Mazwin mencadangkan untuk aku ke hospital ahad ni. Akan kufikirkan dulu. Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. Dia merancang yang terbaik untukku.

Ahad lepas, ketika di PKNS Shah Alam, adindaku Muhd Azman dapat cenderahati dari Rabbani iaitu album terbaru mereka - Mahababah setelah sama-sama menyanyikan Intifadah. Mereka ada menyanyikan lagu lama yang dinyanyikan semula - Tanpa Agama. Tersentuh dengan bait-bait lagu itu antaranya.

Setiap bait di atas penuh erti yang tersendiri. Ada yang tersurat dan ada yang tersirat. Terpulang kepada pendengar. Tapi, bagiku, ianya amat menyentuh naluriku. Manusia memerlukan agama, ilmu, iman dan ukhuwah. Yang menyayat hatiku kini adalah ukhuwah. Aku perlukan ukhuwahfillah dalam menempuhi hidupku. Kukira, tanpa ukhuwah, aku takkan berada di tahap ini sekarang. Kerana ukhuwah sahabat-sahabatku, aku mendapat tarbiyyah. Tanpa tarbiyyah, aku mungkin tak kenal Islam seperti yang sepatutnya. Aku pasti jahil. Amalanku belum tentu diterima Allah. Ya Allah, Kau terimalah aku sebagai hambamu. Aku ingin menjadi kekasihmu. Kau terimalah aku untuk menjadi tetamuMu pada tahun ini Ya Allah.......

 

Mencari Mardhatillah 20


Aku ingin menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Agar dapat kutunaikan rukun islam kelima sekaligus menjadi tetamu Allah di Baitullah. Aku pernah menjejaki ke Tanah Haram, tapi ketika itu aku belum sakit. Aku telahpun berada dalam tarbiyyah ketika itu. Keadaan berbeza ketika itu dan sekarang. Aku begitu ingin merebut peluang ini. Mengunjungi Tanah Suci idaman setiap insan yang merinduikan Tuhannya. Yang mendambakan mardhatillah. Yang mencari-cari mardhatillah. Aku benar-benar berharap agar aku terpilih. Ya Allah, terimalah aku. Aku rindu padaMu. Ingin ku jejaki sekali lagi ke tempat di mana Rasulullah berjuang.....

Perjalanan ku mencari mardhatillah kulalui dengan tenang. Aku dan keluarga akan berusaha dengan membuat rayuan supaya namaku terpilih. Usaha, Doa dan Tawakaltu 'Alallah. Allah suruh berusaha sehabis daya, berdoa dan seterusnya menyerahkan sepenuhnya kepada Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Dia tak akan menzalimi hambanya. Dengan kasih dan sayangNyalah aku masih berada di sini. Di jalan yang penuh ranjau dan duri. Akan kulaluinya sambil mengharapkan keredhaanMu Ya Allah.

Aku juga tak mau jadi orang yang rugi seperti dalam firman Allah:
والعصر, أنالأنسن لفي خسر, ألأألذينءامنوأوعملواألصلحت وتواصوابا لحق وتواصوابالصبر
Yang bermaksud:
Demi masa, Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali:
  1. orang-orang yang beriman
  2. orang-orang yang beramal soleh (mengerjakan kebajikan)
  3. Orang-orang yang nasihat-menasihati untuk kebenaran
  4. Orang-orang yang nasihat-menasihati dengan kesabaran.

Jom sama-sama kita jadi orang yang tak rugi dalam mengejar mardhatillah!

Mencari Mardhatillah 21


Alhamdulillah. Aku rasa semakin sembuh. Tahun ini tak banyak isu yang timbul. Ini menunjukkan perubahan positif terhadap diriku. Syukur kupanjatkan pada Ilahi. Ini berkat kebergantungan ku pada Yang Maha Esa dan juga sokongan dan bantuan sahabat-sahabatku yang tak jemu membantu aku. Sangat bersyukur. Sukar aku gambarkan perasaanku. Harapanku, keadaan ini akan berterusan dan terus bertambah baik.

Tadi, Dr Suriya bagi Sepia 200c. Selepas makan tengah hari dengan Dr Suriya, aku terus ke Bangi untuk berjumpa dengan Puan Azlina. Sukar aku luahkan perasaanku terhadap Dr Suriya dan Puan Azlina. Mereka tak jemu-jemu membantu aku. Ya Allah, kau murahkanlah rezeki dan mudahkan segala urusan mereka yang senantiasa bersama aku. Yang turut menyayangi aku. Yang terus berada di samping aku. Walaupun mereka jauh di KL, tapi sebenarnya mereka dekat di hati aku. Akan aku amalkan apa yang telah Dr Suriya dan Puan Azlina ajarkan padaku.

Minggu lepas, aku juga berjumpa dengan Makcik Faridah di Pejabat JIM. Makcik Faridah begitu seronok berjumpa dengan aku. Dia juga di antara sahabat yang bersama aku ketika keadaan aku tidak stabil dulu. Sungguh indah hidup berukhuwah. Moga semua sahabat-sahabatku yang bersama aku di dunia akan ditemukan kembali di syurga Ilahi. Ameen.


Penyakit Bipolar adalah sejenis penyakit mental. Kata doktor, penyakit ini juga seperti penyakit lain seperti buah pinggang, jantung, darah tinggi dan sebagainya. Ia juga memerlukan rawatan dan ubat. Ianya perlu dirawat untuk sembuh. Seperti yang kita tahu, setiap penyakit ada ubatnya. Yang penting, kita wajib berusaha untuk mengubati penyakit yang kita hadapi supaya Allah memberkati dan menyembuhkan kita. Selepas berusaha, seterusnya berdoa dan berserahlah kepada Allah sepenuhnya.

Entah kenapa hari ini aku ragu-ragu dan malas makan ubat. Memandangkan keadaan aku pun sudah sembuh, ini menambahkan lagi sebab kenapa aku semakin malas makan ubat. Aku rasa seeloknya esok aku ke hospital di Sungai Petani untuk berbincang dengan Dr Sham. Puan Azlina kata, apabila aku stabil dan sembuh, sekurang-kurangnya aku kena makan ubat selama 2 tahun lagi dalam keadaan aku sihat dan sembuh. 2 tahun tu agak lama. Apa kata aku cuba kurang sedikit demi sedikit? Doktor pun cakap bahawa setiap pesakit adalah tidak sama. Dalam kes aku, diagnosis awal adalah kemurungan. Diberi satu jenis anti kemurungan tetapi tidak berkesan, kemudian diagnosis aku bertukar kepada Bipolar dan diberi Anti Psychotic, baru nampak ada perubahan, kata Puan Azlina, kalau tak, keadaan aku teruk. Sangat banyak pemikiran negatif yang mengganggu aku dan juga sentiasa pesimis memandang kehidupan.

Kini, aku tak kisah sekiranya kawan atau orang lain tau yang aku merupakan seorang pesakit mental. Pesakit mental bukan semestinya gila. Apa yang masyarakat nampak apabila sakit mental ni mesti gila. Apabila seseorang itu gila, dia sudah tidak lagi wajib melakukan ibadat dan hilang pertanggungjawaban ke atasnya. Tapi Bipolar bukan begitu. Sakit Bipolar, tetap kena solat seperti orang lain yang sihat.

Sekarang, aku juga berhasrat untuk mendalami ilmu psikologi. Aku ingin lebih memahami diri aku dan juga orang lain. Ini bertujuan supaya suatu hari, aku pula boleh jadi seperti Puan Azlina dan bantu pesakit mental lain dan merawat mereka untuk optimis dan yakin yang penyakit ini boleh sembuh sekiranya dirawat lebih awal dan dengan menjalani rawatan yang betul. Ya Allah, kau bantulah aku dan berkatilah usahaku yang tak seberapa ini.


Malam ni aku akan kembali berangkat ke kampung halaman setelah hampir seminggu bermusafir di Selangor. Papa dan mama serta maksu telah selamat sampai ke Tanah Haram. Mereka terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Aku tidak terpilih untuk menjejakkan kaki untuk kali kedua kerana aku masih muda dan pendaftaran aku lewat. Aku akan meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa mama dan papa untuk tempoh lebih dari sebulan.

Sedikit sedih kerana aku tidak terpilih untuk turut menjadi tetamuNya. Mungkinkah Allah tak mahu menerima aku menjadi tetamuNya? Adakah aku tak layak maka aku tidak diterima? Mungkin juga ilmu dan amal aku tidak cukup lagi untuk aku turut terpilih? Pelbagai persoalan muncul di mindaku. Ya Allah, Kau Maha Mengetahui apa yang Kau aturkan untuk aku. Tinggalnya aku seorang tanpa mama dan papa adalah sebahagian dari tarbiyyah dari Allah. Allah mahu menguji sejauh mana aku mampu bersabar dan terus tsabat di jalanNya.

Aku juga tak diterima bekerja dalam sebuah syarikat. Adakah kerana aku pesakit mental maka aku tak diterima? Sekiranya itulah sebabnya, ini merupakan satu diskriminasi. Adakah pesakit mental tidak layak untuk turut menyumbang? Kalau begitulah keadaannya, pesakit mental seperti aku akan melalui jalan sukar untuk sembuh? Kami tidak diberi peluang dan ruang untuk kembali berkhidmat. Sebelum tamat belajar dulu lagi aku berniat untuk berkhidmat untuk Islam, tapi tiada ruang dan peluang diberi untuk aku kerana aku didiagnos sebagai seorang pesakit Bipolar.

Sebenarnya aku masih belum sembuh rasanya. Terdapat banyak symptom yang disebutkan oleh Prof Maniam (Pakar Psikiatrik PPUKM) dalam artikel di Metro Ahad lepas masih ada pada diriku. Aku menyangkakan bahawa aku sudah sembuh. Aku mahu mengurangkan dos ubat yang aku makan. Kalau boleh, nak berhenti terus. Tetapi apa yang Prof Maniam sebut tu symptom kemurungan. Aku bukan kemurungan tetapi Bipolar. Kenapa symptom kemurungan ada pada aku?

Inilah nasib aku. Allah tak nak terima aku. Ada juga di antara sahabat juga tak nak terima aku. Siapakah yang sudi menerima aku? Basmin? Hanya dia yang masih bersabar dengan kerenah aku. Sahabat lain? Seorang sahabat yang aku anggap seperti saudara aku sendiri turut tidak sudi menerima aku seadanya. Setelah aku diuji, tak ramai yang sudi memahami, membantu dan menerima aku. Aku tak punya sesiapa selain Dr Suriya, Puan Azlina dan Basmin. Aku bersyukur pada Allah kerana Allah mengirimkan mereka pada aku. Tanpa mereka aku tak pasti aku mampu teruskan kehidupan atau tak.

Ampunkan aku Ya Allah……..


Aku ditakdirkan untuk berkhidmat sebagai guru tadika. Aku diamanahkan untuk mengajar dan menjaga kanak-kanak berusia 4 tahun. Kali ini, aku belum mengalami apa-apa symptom yang boleh membuatkan aku sakit kembali.

Alhamdulillah, kerana tiada tekanan yang teruk yang boleh menyebabkan aku kembali sakit. Aku gembira. Telatah kanak-kanak di tadika amat mencuit hati. Tidak sampai hati untuk memarahi mereka tatkala mereka melakukan kesalahan kerana mereka masih suci. Mereka sebenarnya tidak tahu apa-apa. Kitalah yang bakal mencorakkannya. Amat besar sebenar tanggungjawab dan tugasku.

Ya Allah, berikanlah ku kekuatan untuk meneruskan perjalanan ini. Perjalanan dalam mencari redhamu. Sungguhpun aku telah melalui sesuatu yang sukar, ini semua adalah tarbiyyah dari Allah untuk aku.


Aku mendapat tawaran lebih baik di Hira’. Lalu aku meletak jawatan sebagai guru tadika dan menjawat Pegawai Sumber Manusia dan Akaun. Tetapi, hampir 3 bulan aku berkhidmat aku kembali murung dan dipecat. Pasti ada sebab dan hikmah di atas apa yang berlaku. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Ujian demi ujian harus aku lalui. Tarbiyyah apakah lagi yang Allah rancang untukku? Mungkin di Hira' bukan tempat yang terbaik. Ada yang terbaik menantiku dihadapan. InshaAllah.

Aku bertemu dengan ramai orang. Ada yang lebih teruk dariku sehingga terpaksa berhenti belajar. Aku?? Sekurang-kurangnya aku sempat menghabiskan Ijazah Sarjana Muda di Uniten. Sempat bekerja beberapa tahun sebelum diuji. Ujian yang datang sebagai tanda kasih sayang Allah. Sangat gembira menjadi hamba yang disayangi tuannya. Hanya Allah yang mengetahui apa yang dirancang. Allah adalah sebaik-baik perancang.

Bermuhasabah. Keberadaan aku di PPUKM memberi ruang untuk aku bermuhasabah. Surah Al-Insyirah memberiku inspirasi dan motivasi untuk aku teruskan kehidupan. Maksud dari ayat 5 dan 6 surah Al-Insyirah: "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."

Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan. Berlapang dada adalah tahap ukhuwah yang terendah dan ithar adalah tahap ukhuwah yang tinggi. Seperti yang dinyatakan sebelum ni, manusia akan datang dan pergi tapi ALLAH, tetap ada dan takkan kemana-mana. Innallaha ma’ana (Allah sentiasa bersama kita). Allah senantiasa menantikan hambanya merayu dan berdoa. Merintih dan menangis kekesalan.

Ya Allah, banyaknya dosaku padaMu. Aku seringkali alpa dan lalai dalam melaksanakan kewajipan serta leka dengan dunia. Ampunkan aku ya Allah. Aku sedar akan kesilapanku kerana tidak bersangka baik denganMu. Padahal Kau rancang sesuatu yang terbaik dan memang untukku. Tidak ada yang Kau takdirkan adalah sesuatu yang buruk atau tidak baik. Teruknya aku. Aku bersalah padaMU Ya Allah. Ampunkan aku. Kasih sayangMu tak bertepi. Kasih sayang manusia ada batasnya tapi, Engkau Maha Sempurna. Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Sangat beruntung berada di dalam jamaah. Sokongan dari sahabat senantiasa ada. Cuma syaitan yang selalu memutar belitkan fakta dan keadaan. Kehadiran Basmin, Feza, Azreen dan Umairah di PPUKM memberi suntikan semangat untuk melawan fikiran negatif yang telah lama bersarang dalam otak. Banyak cara fikir yang salah dan fikiran negatif telah di develop dan sebati dalam fikiran. Amat sukar untuk mengubah. Cognitive Behavioral Theraphy (CBT) yang telah diajarkan aku dah lupa sebab ECT. Sakit kali ni telah menimbulkan idea untuk buat ECT lagi. Side effect lupa tu abaikan je. Sebab menurut kajian, ingatan yang lupa itu akan kembali. Cuma kes aku sahaja terdapat ingatan tidak kembali. Mungkin memang takdir Allah ingin aku melupakan perkara yang dah lepas.

 Ini kali kedua aku diberhentikan sebab ada penyakit Bipolar ni. Awalnya aku merasakan sangat depress kerana adakah orang yang sakit macam aku tak ada peluang untuk bekerja dan meneruskan kehidupan macam biasa. Tiada ruang dan peluang diberikan. Kami seperti dipinggirkan dan pastinya proses penyembuhan akan melalui fasa yang sukar kerana tiada sokongan dari masyarakat. Tidak mengapalah. Bukan rezeki aku di Hira’. Allah dah tetapkan semua ini berlaku. Mungkin rezeki aku di tempat lain walaupun bukan dengan jamaah. Khidmat aku tak diperlukan dalam jamaah kerana aku berpenyakit. Niat aku nak menginfakkan diri untuk Islam, tapi mungkin Allah tak mengizinkan. Aku tak sesuai. Mungkin masih ada perkara yang tak elok dalam diri aku. Terutamanya pemikiran negatif yang telah lama bersarang dalam minda.

Aku hanya mampu merintih, berdoa dan bermohon kepada Allah agar aku kembali pulih. Kepulihan sementara aku aritu sangat menggembirakan aku. Sehingga aku boleh bekerja selama 5 bulan lebih. Tapi tiba-tiba, tanpa sebab dan isyarat, aku kembali murung. Aku tak tahu kenapa aku murung secara tiba-tiba. Semua ni Allah dah aturkan. Kata Basmin, Nabi Ayub pun diuji. Tak semestinya baginda banyak dosa maka Allah mengujinya. Apatah aku manusia biasa yang sering melakukan kesilapan.


Pengharapan dan pertolongan dari Allah amat penting. Manusia hanya boleh membantu tetapi bantuan hakiki adalah dari Allah. Sangat insaf dan bermotivasi bila membaca terjemahan apatah lagi tafsir. Semuanya yang tertulis adalah untuk hambaNya. Syukur sangat dengan mukjizat Al-Quran. Allah mewahyukan apa yang diperlukan oleh hamba yang ingin mencari hidayah dan kebenaran. Tak kenal maka tak cinta. Begitulah diibaratkan kata-kata ini.

Allah Maha Kaya, Agung, Bijaksana, Adil, Pemurah, Penyayang dan banyak lagi nama-nama bagi Allah. Asmaul Husna juga memotivasikan aku untuk terus berjuang melawan penyakitku. Semoga satu hari nanti aku berjaya. Kalau tidak berjaya di dunia, aku mengharapkan agar aku berjaya di akhirat. Itulah cita-cita aku.

Allah tidak akan menzalimi hambanya. Apa yang Allah rancangkan untuk kita adalah untuk mentarbiyyah atau mendidik agar menjadi hamba yang lebih baik. Aku akan latih diri aku perlahan-lahan untuk
  1. Sabar
  2. Redha
  3. Syukur
Dalam mencari mardhatillah memang akan melalui liku-liku kehidupan yang penuh ranjau dan duri. Sejauh mana kita bersabar dan redha dengan ketentuan Allah. Allah kan menguji hambanya mengikut kemampuannya. Kita rasa tak mampu sebab syaitan yang menghasut! Jahatnya syaitan yang ingin memesongkan kita. Ya Allah, kau jauhilah aku dari iblis dan syaitan terlaknat.


Alhamdulillah hari ini aku berjaya menghabiskan surah Al-Kahf yang aku mulakan membaca semalam. Sangat menginsafkan kerana suatu ketika dahulu aku kerap mengamalkan pada setiap malam jumaat. Sudah lama aku lupa akan tuntutan Allah ini. Kenapa ya? Syaitan dan iblis telah berjaya melekakan aku dengan melakukan perkara-perkara yang lagha. Subhanallah.

Aku masih diuji. Dalam melalui ujian ini aku harus kuat. Kekuatan yang hakiki hanya datang dari Allah. Maka dengan itu harapan haruslah diletakkan pada Allah semata-mata. Firman Allah dalam surah Al-Ikhlas yang bermaksud:

"Katakanlah Muhammad, Dialah Allah yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Allah tidak beranak dan diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengannya."

Allah adalah segala-galanya. Janganlah kita melupakan Allah pada setiap detik pun. Apa sahaja yang berlaku adalah ketentuan dan perancangan rapi dari Allah. Allah takkan menzalimi hambanya terutama hambanya yang bersyukur dan sentiasa berada dibawah naungan rahmatnya.

Aku harus pulih sebelum meneruskan kehidupan seperti orang lain yang normal. Memang tidak dinafikan aku cemburu dengan rakan-rakan dan sahabat yang lain. Tapi, Allah lebih mengetahui kenapa hidupku ditakdirkan begini. Ada hikmah yang tersembunyi.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Hanya padamulah aku berserah diri. Tiada siapa yang lebih memahami diriku selain Engkau Ya Allah. Kau berikanlah aku kekuatan untuk mengharungi dugaan hidup ini. Aku tak perlu takut kerana Engkau sentiasa bersamaku. Rezeki berada di mana-mana. Allah telah menentukan rezeki-rezeki hambanya. Aku tak perlu gusar atau bimbang tentang itu.


Allah masih ingin terus menguji aku sehingga aku "Penat". Hampir 7 tahun aku melalui liku-liku sebagai pesakit Bipolar Mood Disorder Type II. Hanya orang yang mengalaminya sahaja akan faham. Keluarga dan orang sekeliling takkan faham kerana mereka tak mengalaminya.

Persoalannya di sini, adakah Staff Nurse, Pegawai Perubatan, Pakar Psikiatri, Kaunselor dan Psikologi Klinikal faham apa yang kami para pesakit mental alami dan lalui? Setelah hari ini, aku luahkan pada doktor, Staff Nurse, pelajar perubatan dan pakar, mereka hanya mendengar.

Tak tahu kenapa hari ini aku menjadi "Penat" Adakah aku sudah berputus asa? Cycle yang sama berulang sejak 2006. Sahabat sendiri enggan menggaji aku untuk bekerja dengan mereka kerana aku bergelar pesakit mental. Bilakah episod ini akan berakhir? Adakah sehingga aku menghembuskan nafas terakhir?

Kini aku sedar bahawa manusia sekeliling takkan faham sepenuhnya. Hanya Pencipta kita iaitu Allah yang Maha Agung yang faham kenapa perancangannya sebegini. Semuanya ada sebab. Allah takkan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Maka, aku harus bertekad untuk terus berjuang melawan penyakitku dengan bantuan pakar dan psikologi klinikal iaitu Puan Azlina. Keluarga harus support untuk beri kekuatan. Ya Allah kau berkatilah usahaku ini.


Aku seharusnya bersyukur dengan kehidupan ini. Tiada sebab aku perlu menangis dan berputus asa kerana ramai yang menyayangi aku. Entah kenapa mood aku berubah begitu cepat. Malam semalam sehingga petang tadi, aku murung dan menangis tentang nasib aku. Tetapi lepas aku solat Asar dan baca Mathurat, aku lega. Aku kembali positif dan optimis. Dan sekarang, Sakinah kata aku manic.

Hah! Macam mana tu?? Itu semuakan perancangan Allah. Masa murung mungkin aku terpengaruh dengan bisikan syaitan. Dan sekarang aku kembali stabil. Tapi yang tak bestnya bila Staff Nurse panggil doktor aku petang tadi sebab aku menangis. Lalu dia telah menaikkan dos anti kemurungan aku. Tak suka!!

Aku perlu lebih mengingati penciptaku. Dia lebih tahu apa yang terbaik untukku. Ujian ini tanda kasih sayangNya. Adanya Sakinah dalam wad ni pun kami saling kuat-menguatkan. Masing-masing dengan symptom masing-masing. Dengan ujian yang sesuai dengan kemampuan kami.

7 tahun melalui liku-liku sebagai pesakit Bipolar tidak terlalu lama berbanding ujian pada Nabi Nuh yang berdakwah beratus tahun pada umatnya. Walaupun aku bukan Nabi tapi aku boleh menjadikan Kisah Nabi-Nabi yang diceritakan dalam A-Quran sebagai motivasi. Lagu-lagu nasyid dalam blog aku juga aku jadikan motivasi untuk aku mencari redha Allah.


Dalam Surah At-Tawbah ayat ke-129 Allah telah berfirman yang bermaksud: “Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka Katakanlah (Wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar."

Allah adalah segala-galanya! Apa lagi yang aku mahukan di dunia ini? Adik-beradikku, saudara-maraku, sahabat atau teman-teman, psychiatrist dan doktor hanyalah manusia biasa yang dipinjamkan untuk aku. Betul ke pernyataan aku ini?

Aku harus mengingatkan diri aku agar sentiasa mengingati Allah. Bukannya manusia. Tetapi, dalam keadaan mood aku yang berubah-ubah macam mana ya? Dah nama penyakit pun Bipolar Mood Disorder Type II. What should I do?

Aku merasakan usaha aku selama ini sia-sia. Papa dan mama pulak nak berubat cara kampung. Aku PENAT!! Hanya Allah yang mengetahui apa yang aku rasa. Aku hanya perlu menantikan bantuan dari Allah. Tapi bilakah bantuan itu akan datang? Sehari? Sebulan? Setahun?  5 tahun? 20 tahun? Atau sampai aku mati?


Keampunan Allah tidak bertepi. Aku bukanlah mengambil kesempatan untuk mengulangi perbuatan menzalimi diriku sendiri dengan adanya keampunan apabila kita bertaubat. Tetapi saat aku menzalimi itu aku berada di luar kawalan dan tak dapat berfikir dengan baik.

Aku takut dan rasa bersalah setelah sedar apa yang aku lakukan merupakan satu dosa. Aku juga bimbang Allah tak akan mengampuni aku lagi kerana kesilapan itu terlalu banyak berulang-ulang.

Tidak! Aku tak boleh pesimis dalam kehidupan. Harus sentiasa optimis. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Kau neutralkan bahan kimia dalam otakku dan positifkan pemikiranku. Kehidupan ini adalah satu ujian kepada manusia. Cuma cara manusia menangganinya yang membezakan manusia antara satu sama lain. Setiap ujian harus ditanggani dengan bijak sekiranya individu itu mempunyai skill untuk melalui ujian itu dengan jayanya.


Sudah sebulan aku di PPUKM bagi mendapatkan rawatan. Aku merasakan sedikit perubahan dan tiada mood sedih setelah menjalani ECT. Mungkin ECT boleh membuatkan pesakit lupa, tapi ia juga telah meneutralkan bahan kimia di dalam otak aku. Alhamdulillah. Syukur kupanjatkan ke hadrat Ilahi yang memberkati usahaku. Aku berharap ianya bukanlah bersifat sementara tetapi berpanjangan untuk jangka masa yang lama. Aku juga mengharapkan kemasukan aku di PPUKM kali ini adalah yang terakhir.

Harapan aku dengan usaha aku kali ini adalah ingin pulih untuk jangka masa yang lama. Ubat akan aku makan dan CBT dengan Puan Azlina akan kuteruskan bagi memastikan tahap kesihatan aku memuaskan. Apa yang aku pelajari dari Puan Azlina aku perlu laksanakan. Praktikal lebih penting kalau kita belajar sesuatu yang baru. Tambahan pula ini untuk memastikan aku pulih dan seterusnya kembali sihat.

Allah adalah sebaik-baik perancang. Apa yang dirancangkan olehNya ada hikmah yang tersembunyi. Lupa disebabkan ECT juga adalah perancanganNya. Allah memadam memori yang tertentu sahaja. Ada yang aku ingat dan ada yang aku tak ingat. Dia lebih tahu apa yang terbaik untukku.


Perjalanan dan liku-liku yang kulalui semasa dewasaku amat memeritkan. Allah ingin menguji ketahanan aku. Penyakit yang tidak disukai oleh ramai orang, aku terpaksa hadapi. Di Malaysia secara umumnya masih ramai yang memandang serong dengan penyakit mental. Masyarakat menyisihkan para pesakit mental. Pesakit mental juga ada tahap-tahap tertentu. Kalau yang kritikal barulah diasingkan dan turut dirawat atau di tempatkan di hospital mental. Adakah semua pesakit mental sama? Adakah kami tidak layak bekerja dan berkhidmat dalam masyarakat? Memang penyakit ini ada yang serius dan ada yang tidak. Rawatan dan ubat diperlukan bagi menyembuhkan atau memulihkan pesakit mental.

Aku? Berada di tahap mana? Serius atau tidak? Pada aku, aku telah melalui kesemua fasa. Fasa sangat serius, fasa serius dan kurang serius. Sekarang, setelah aku menjalani ECT, aku dapat rasakan perubahan. ECT adalah satu rawatan bukan ubat yang melibatkan caj elektrik diletakkan di otak. Satu kelemahan ECT atau kesan sampingannya adalah lupa. Pesakit yang menjalani ECT akan kehilangan sedikit ingatannya dan kata pakar, kehilangan ingatan itu bersifat sementara. Harapnya begitulah.

Hanya pada Allahlah aku sandarkan harapan untuk meneruskan kehidupan walaupun aku pernah merasakan amat “penat” untuk melalui perjalanan dan liku-liku yang memeritkan ini. Terbaru yang memeritkan adalah penerimaan bekas majikan aku yang juga berada dalam sistem tarbiyyah yang telah memberhentikan aku. Aku tidak meminta diuji dengan penyakit ini. Semuanya ini adalah dari Allah. Kalau para sahabat sendiri enggan menggaji aku, tak apalah. Rezeki ada di mana-mana. Biarlah Allah yang menentukan.


Hinakah pesakit Bipolar atau katogerinya adalah di bawah pesakit mental seperti aku? Adakah aku berhak dikutuk kaw kaw oleh seorang yang bergelar pakar psikiatrik? Seorang yang bergelar pakar mempersoalkan tindakan aku. Tidakkah dia tahu bahawa tindakan aku adalah di luar kawalan dan dia sepatutnya boleh menjangkakan tindakan pesakit Bipolar yang berada dalam keadaan stress dan depress? Tidak aku menjangkakan kutukan itu keluar dari seorang pakar dan disampuk sedikit oleh doktor psikiatrik yang lain serta diperhatikan oleh staff nurse dan pelajar jururawat terhadap seorang pesakit yang telah lama menderita dengan sakit Bipolar.

Apa lagi kemampuan aku sebagai pesakit Bipolar selain dari menangis. Menangis adalah teman rapatku semenjak aku sakit. Ada pendapat menyatakan bahawa tangisan dapat melegakan seseorang. Betulkah? Malamku sebelum tidur hanya ditemani air mata.

Aku mengadu pada HO dan pakar Medical yang datang memeriksa aku. Dia kata dia tak boleh buat apa-apa dengan tindakan pakar psikiatrik tersebut. Mungkin aku boleh ikut proper channel dan komplen. Dan aku juga boleh tulis dalam blog katanya.

Mengimbau kembali tahun lepas, aku pernah diperlakukan teruk oleh sebuah hospital di Sungai Petani. Pakarnya kata nak membantu aku kononnya. Tapi bagi aku ia menambah teruk lagi keadaan aku. Dan sebaik sahaja aku melangkah keluar dari wad psikiatrik hospital tersebut, aku berjanji kepada diri aku takkan menjejak kaki ke situ lagi.

Inilah jalan yang harus aku lalui dalam mencari redha Allah. Kak Azlina suruh aku maafkan sahaja pakar psikiatrik tu. Aku akan cuba kalau itu sahaja cara untuk mendapat keredhaan dari Allah. Tidakkah aku harus memperbetulkan cara Psychiatrist tu? Aku serahkan pada Allah untuk menentukan. Allah sahaja yang boleh menggerakkan hatiku untuk memaafkan dan melupakan walaupun pahit untuk aku telan.


Kenapa aku harus menangisi apa yang berlaku? Ini kan takdir dari Allah dan tanda Allah amat menyayangi hambanya. Lupakan siapa sahaja yang tak mengambil berat sebab Allah senantiasa mengambil berat akan hambanya. Allah amat menyayangi hambaNya. Allah menguji hamba yang disayangiNya. Sedarlah bahawa menjadi hamba yang disayangi amat beruntung.

Aku harus kuat dan tabah melalui ujian ini. Pedulikan orang sekeliling yang tak memahami. Allah Maha Memahami. Bayangkan ganjaran yang bakal dikurniakan Allah sekiranya aku redha dengan ujian  yang telah tertulis untuk aku tempuhi. Sebenarnya, ganjaran dari Allah adalah sesuatu yang di luar bayangan manusia. Itupun sekiranya aku tak mempersoalkan ujian dari Allah ini.

Aku seharusnya tidak mempedulikan kefahaman orang lain tentang aku biarpun mereka kerabatku sendiri. Aku telah cuba sedaya upaya aku memberi sedikit pemahaman tentang penyakit aku. Tapi Allah sahaja yang boleh memberi kefahaman dan membuka hati mereka untuk memahami setiap kepayahan yang aku lalui.

Aku harus bertawakal. Aku harus menguatkan diri aku dan merapatkan diriku dengan Yang Maha Esa. Aku sepatutnya menjadi hamba yang bersyukur dan hamba yang kuat imannya. Fikiranku bercampur baur dan senantiasa berubah-ubah. Syaitan pula memainkan peranannya untuk memesongkan, melekakan dan melalaikan hambaNya. 

"Ya Allah, panggillah kami kembali kepadaMu dengan cara yang paling baik. Maafkanlah segala kesalahan kami. Perbaikilah keadaan kami Pindahkanlah kami dari suasana gelap kepada suasana terang-benderang. Jadikanlah kami orang-orang yang dapat membimbing manusia menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ya Allah limpahkanlah selawat dan salam kepada penghulu kami Muhammad SAW. Akhir doa kami, bahawa segala puji hanya bagi Allah Tuhan semesta Alam." 
Doa yang dipetik dari buku Penyejuk Jiwa karangan Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni


Sungguh indah apabila mentadabbur Al-Quran. Terasa jauh ke lubuk hati dan seperti Allah menyampaikan sesuatu untuk hambaNya yang amat lemah dan senantiasa memerlukanNya. Allah sama sekali tidak meninggalkan hambaNya melalui kepayahan hidup di dunia. Allah mengirimkan doktor untuk membantu memulihkan aku. Allah juga memberikan sahabat seperti Makcik Ton, Puan Azlina dan Basmin yang memberi sokongan moral pada aku. Malah mereka mengajarkan aku untuk bertahan dengan ilmu yang mereka ada.  Mungkin aku tak dapat sokongan moral dari sesetengah dar sahabat dan kerabatku. Tapi Allah menggantikan dengan doktor, Psikologis dan adik-adik pelajar perubatan di PPUKM.

Pasti ada hikmah setiap apa yang berlaku terhadapku. Aku menangis kerana terharu dengan perancangan Allah, bukan menangisi nasibku. Pada luarannya nampak seperti aku terseksa. Tetapi sebenarnya aku bahagia kerana Allah disisiku. Cara nak merasakan bahawa Allah senantiasa disisi adalah dengan mentadabbur Al-Quran disaat kesedihan dan berasa keseorangan. Kita tak keseorangan sebenarnya. Allah bersama hambaNya yang sabar menempuhi ujian. Kata Basmin, kalau nak lulus keluar dari ujian ini harus bersabar dan ingat akan janji Allah dalam Al-Quran. Sabar ganjarannya amat besar. Maka bersabarlah. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.

Kadang-kadang bermain di fikiranku bahawa sabar itu memenatkan. Aku rasa penat kerana aku merasakan ujian ini terlalu berat dan aku tak mampu menanggungnya. Malah aku berharap lebih baik Allah mengambil sahaja nyawaku. Tidak terdetik bahawa adakah sudah cukupkah amalanku untuk dihitung dan dikumpulkan bersama umat-umat yang beruntung di akhirat kelak? Jangan lupa kata-kata Allah dalam ayat terakhir Al-Baqarah: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Yakinlah!! Ini adalah wahyu dari Maha Mengetahui. Dialah sebaik-baik perancang.

Mencari Mardhatillah 38

Jun 2013. Sudah setahun aku tidak mengemaskini blog kerana kali terakhir aku menulis di blog adalah pada Jun 2012. Entah kenapa hari ini terasa ingin menulis sesuatu di blog yang telah setahun aku tidak mengemaskininya. Sejujurnya, diantara sebab utama aku tidak menulis kerana mood aku tidak stabil dan ianya menyebabkan aku tidak mempunyai idea untuk menulis. Kemasukan aku kali ini adalah kerana diagnosisku ditukar dari Bipolar Mood Disorder Type II kepada Treatment Resistant Depression (TRD), setelah semua pakar di Jabatan Psikiatrik PPUKM termasuk seorang pakar jemputan dari Toronto iaitu Profesor Arun mengadakan perbincangan semasa sesi Grand Ward Round bulan lepas.

Alhamdulillah hari ini, aku tergerak untuk menulis di hari keduaku untuk tahun ini aku kembali masuk ke wad di PPUKM. Aku merasakan perasaan aku hari ini berbeza dengan hari-hari sebelum ini sepanjang aku tidak mengemaskini blogku. Diriku menjadi berbeza kerana aku dapat fokus untuk membaca buku motivasi yang sangat memotivasikan. Buku yang terkenal di seluruh dunia iaitu La Tahzan (Jangan bersedih@Don't be sad) Membaca tajuknya sahaja di dalam buku itu sudah cukup menyentuh. Apatah lagi dengan membaca isinya. 

Aku mengharapkan agar mood aku hari ini berpanjangan. Aku harus positif dan optimis. Tidak lagi pesimis dan menganggap bahawa ujian penyakit dari Allah hanyalah bebanan semata-mata. Ujian dari Allah adalah tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Bukankah Allah menyebut di dalam surah Al-Quran bahawa Allah adalah Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Maha Penyayang dan Maha Pengasih adalah 2 dari 99 nama Allah yang wajib kita imani dan fahami serta cuba untuk mempraktikkan dalam kehidupan seharian. 

Setiap apa yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah. Sebagai hamba Allah yang beriman dengan semua rukun iman, kita tidak seharusnya terpedaya oleh bisikan-bisikan dari syaitan yang bertujuan untuk memesongkan akidah kita. Memang hati manusia senantiasa berbolak balik. Tetapi kita harus juga senantiasa beristighfar, bertaubat dan menyesali apa kekhilafan yang telah kita lakukan semasa kita lemah. 

Aku harus optimis untuk sembuh dan hidup seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW utusan terakhir yang menyampaikan kebenaran. Hidup di dunia adalah ladang hidup di akhirat yang pastinya kehidupan yang kekal abadi di sana.

Mencari Mardhatillah 39

Sangat tersentuh apabila menonton Bicara Selebriti dimana moderatornya saudara Amin Idris menyanyikan lagu Aku Cinta Allah (Wali Band-Indonesia). Ianya mengusik jiwa dan perasaan dan terasa ingin berkongsikan liriknya bersama supaya dapat sama-sama menghayati setiap dari lirik tersebut. Kalau didengarkan sekali melodinya pastinya lebih menyentuh malah mungkin boleh mengalirkan air mata.





Andaikan…diriku bisa seperti yang lain..
Yang Kau sayang..
Yang Kau rindukan..
Yang Kau cintai..

Aku lemah.. TanpaMu aku lelah
Aku sungguh tak berdaya
Tolongku..Tolongku.. Ya Allah..
Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi

Aku sayang Allah..
Aku rindu Allah..
Aku cinta Allah..



Hanya pada Allahlah tempat kita sandarkan segala sesuatu. Ingatlah bahawa rezeki bukannya di tangan manusia tetapi di tangan Allah. Ianya telah tertulis di Lauh Mahfuz. La Ilaha Illallah. Tiada Tuhan yang layak di sembah melainkan ALLAH!

Mencari Mardhatillah 40

Sesuatu yang terjadi pasti ada hikmahnya. Begitu juga dengan diagnosis baruku iaitu Treatment Resistant Depression (TRD).  Dari namanya agak menyedihkan. Itulah yang dinyatakan oleh Dr Tuti. Tetapi, bagiku ianya harus aku jadikan cabaran untuk aku terus berjuang melawan penyakitku ini. Allah tidak mentakdirkan sesuatu itu menjadi sia-sia. Ranjau yang Allah SWT takdirkan tidak akan terhenti selagi nadi berdenyut.

Walau apapun diagnosis penyakitku, Allah tidak akan meninggalkan aku keseorangan. Dengan kembalinya Dr Tuti ke Malaysia setelah beberapa tahun di Australia bagi menyambung pelajaran di peringkat Phd, aku amat berasa beruntung. Dr Tuti merupakan doktor pakar pertama yang merawat aku pada 2006-2008. Kini, 2013 dia kembali menanggani kes aku. Dia membuat beberapa pertukaran dan penambahan ubat setelah diagnosisku bertukar. Semoga Allah  memberkati usaha yang beliau jalankan bagi membantu aku.

Aku tidak akan mengalah dalam melakukan sesuatu untuk penyembuhan aku walaupun sudah hampir 8 tahun aku dirawat di Jabatan Psikiatrik di beberapa buah hospital. Aku sebenarnya lebih selesa dengan rawatan di PPUKM kerana pakar dan pegawai perubatannya mesra dan bersungguh-sungguh dalam membantu memulihkan pesakit mental. Ini adalah berdasarkan pengalaman aku yang pernah ditanggani oleh beberapa buah hospital lain.

Aku mengharapkan agar usahaku yang tak pernah henti sejak disahkan sebagai pesakit mental ini diberkati oleh Allah SWT. Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya kerana kita adalah ciptaanNya. Maka dengan itu aku tidak harus berputus asa dan menyerah dalam berusaha mengubati penyakit yang dipandang serong oleh sesetengah masyarakat.

Mencari Mardhatillah 41

Ubat. Aku harus makan beberapa jenis ubat. Sebelum ini aku hanya makan anti depression dan anti psychotic, tetapi dengan kemasukan aku ke PPUKM bulan lepas Dr Tuti telah menambah mood stabilizer untuk aku iaitu Lithium. Menurut Wikipedia.orgLithium is the "classic" mood stabilizer, the first to be approved by the US FDA, and still popular in treatment.” Ubat baru ini memerlukan pemeriksaan level darah setiap 3 bulan. Ini kerana bagi memastikan levelnya tidak kurang dan tidak lebih. Sekiranya kurang, ia tidak berkesan dan sekiranya lebih ia akan menjadi toxic dalam darah dan membahayakan diri aku.

Ubat merupakan satu usaha aku untuk sihat seperti dulu. Sekiranya aku tidak mengambil ubat mungkin keadaan aku lebih teruk. Ini berdasarkan maklumat pakar psikologi dan pakar psikiatrik yang merawat aku. Aku juga memperolehi pelbagai maklumat menerusi internet. Penyakit mental memerlukan ubat untuk menstabilkan bahan kimia yang tidak stabil di dalam otak. Selain ubat, ECT juga sangat membantu.

Namun, ubat sahaja tidak mencukupi bagi membantu aku untuk sembuh. Ia memerlukan gabungan antara ubat, psikoterapi dan doa kepada Allah SWT. Psikoterapi tidak ada banyak beza dengan sesi kaunseling. Cuma psikoterapi lebih spesifik kepada mengajar pesakit mental cara untuk berfikir dengan betul.

Doa merupakan senjata bagi mukmin. Amat rugi sekiranya kita tidak menggunakan senjata yang diberi pada kita. Sejak sakit, aku tidak putus-putus berdoa agar ujian yang Allah berikan ini berakhir. Tetapi adalah hak Allah sebagai pencipta kita bilakah waktunya yang tepat untuk mengakhirkan ujian aku ini.

Mencari Mardhatillah 42

Lama sungguh aku harus menanti untuk berjumpa dengan pegawai perubatan di hospital. Temujanjinya pukul 9 pagi tetapi berjumpa dengan Dr Syakeer hampir pukul 11 pagi. Selepas itu, aku dapat khabar kurang baik dari Dr Syakeer iaitu, darahku yang diambil pada 7 Julai minggu lepas telah hilang. Argh! Padahal aku semangat datang hospital 8 30 pagi untuk dapatkan keputusan darah untuk dibawa berjumpa dengan Dr Tuti minggu depan. Keputusannya, esok aku harus kembali ke hospital untuk ambil darah baru. Ingatlah bahawa tak semestinya apa yang kita inginkan dan rancangkan pasti terjadi. Ini semua telah diatur oleh Allah.

Dr Syakeer nampak bahawa terdapat perubahan pada diriku berbanding mula-mula berjumpa dengannnya dulu. Aku berbeza dengan aku yang dulu. Dulu aku banyak sedih, murung dan selalu fikir nak overdose ubat. Pesanan Dr Syakeer masih aku ingat: kalau nak buat sesuatu, terutamanya kalau nak overdose, fikirkannya dua kali (think twise).Aku cuba aplikasikannya. Alhamdulillah kerana ini adalah kerana Innallahama’ana (Allah senantiasa bersama kita).

Perubahan aku ini juga hasil dari kemasukanku ke wad psikiatrik PPUKM dan aku ditanggani dengan betul oleh pakar (Dr Tuti), pegawai perubatan (Dr Sharutha) dan semua staf di wad. Keberadaan aku di sana hampir sebulan tidak terasa terlalu lama. Masa dirasakan begitu cepat berlalu  walaupun di penghujungnya terasa ramai pesakit dan sedikit rimas. Tetapi berkat kemasukan aku bulan lepas di PPUKM menjadikan aku lebih sihat dan pulih. Adakah kerana diagnosis baruku ini yang sebenarnya dan pertukaran serta penambahan ubat? Hanya Allah yang Maha Mengetahui….

Mencari Mardhatillah 43

Aku akan terus memohon pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Bulan ramadhan adalah bulan pesta ibadah terutamanya solat. Solat yang tak dikerjakan pada bulan lain kecuali Ramadhan adalah solat Terawih. Walaupun hampir setiap hari sakit kepala aku kuatkan diri ke masjid bersama mama. Sewaktu aku tidak kuat ke masjid aku akan solat seorang diri di rumah, walaupun tak dapat pahala berjamaah. Sekurang-kurangnya kita tetap laksanakan walaupun sakit.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar. “(Al-Baqarah:153)

Menurut Tafsir Ibnu Kasir mengenai tafsir ayat ini:
“Dalam ayat ini Allah memerintahkan umat manusia untuk selalu meminta pertolongan kepada Allah dengan cara bersabar dan menunaikan solat secara khusyuk. Sabar terbahagi kepada 2, iaitu sabar ketika mendapat ketenangan dan sabar ketika mendapat kesusahan. Ketika menghadapi permasalahan, hendaklah kita mengembalikan semua urusan kepada Allah kerana Dialah Zat yang menentukan semuanya. Sabar mengandungi 3 hal:
1.      Sabar untuk meninggalkan sesuatu yang haram,
2.      Sabar dalam menunaikan ibadah dan kewajipan,
3.      Sabar dalam menerima musibah dari Allah.
Semua musibah merupakan kehendak Allah, telah disebutkan pula bahawa di sebalik musibah yang menimpa pasti terdapat hikmah yang sangat agung.”

Setelah mentadabbur ayat ini haruslah aku jadikan motivasi untuk mohon pertolongan dengan sabar dan solat. Bagi sesetengah orang solat itu sendiri memerlukan kesabaran. Ada pula yang tidak sabar, lalu tidak solat. Aku sendiri nampak perkara ini semasa di wad PPUKM bulan lepas. Aku bersimpati padanya. Aku hanya mampu berdoa supaya Allah membukakan pintu hatinya  untuk solat 5 waktu.

Mencari Mardhatillah 44

Aku baru pulang dari berjumpa dengan Dr Syakeer setelah semalam aku dirawat di Unit Kecemasan Hospital Jitra. Ini adalah kerana aku pening, sakit kepala dan tanganku menggigil. Semasa di kecemasan, aku diberi ponstan dan dimasukkan air serta darahku diambil. Setelah air habis dan keputusan darahku keluar, aku dibenarkan pulang walaupun tanganku masih menggigil.

Hari ini, walaupun sudah pergi ke Klinik Psikiatri HSB, tanganku masih menggigil. Dr Syakeer memutuskan untuk mengurangkan dos pengambilan Lithium pada waktu malam dari 600mg kepada 300mg. Keputusan ini dibuat setelah berbincang dengan pakar. Tetapi, aku ragu kerana yang seharusnya memutuskan dos ubat-ubatan aku adalah Dr Tuti. Aku cuba hubunginya tapi gagal.

Mungkin tremor tanganku ini bersifat sementara. Seperti yang Dr Syakeer terangkan, mungkin di bulan Ramadhan ni badan aku kekurangan air kerana berpuasa. Menurut maklumat tentang pengambilan lithium, perlu banyak minum air untuk mengelakkan dari badan kekurangan air.

Ya Allah, Kau sembuhkanlah aku. Kau cukupkanlah apa yang tidak cukup terutamanya air di dalam badanku. Engkau boleh melakukan apa sahaja. Dalam surah Yasin ayat 82 yang bermaksud: “Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya: Jadilah! Maka jadilah sesuatu itu.”

Mencari Mardhatillah 45

Dr Aidh Al-Qarni berpesan dalam bukunya Jangan Bersedih: “Di sebalik kesusahan, pasti datang kemudahan. Ketahuilah bahawa sesusah rasa lapar berakhir pasti akan ada rasa kenyang. Selepas menjalani rasa haus dan dahaga pasti ada rasa kepuasan. Setelah mengalami kesusahan tidur pasti datang masanya tidur nenyak. Sesudah mengalami masa sakit yang berpanjangan pasti akan mengalami sembuh”

Kata-kata hikmah Dr Aidh di atas semuanya terasa untukku terutamanya di bulan menahan lapar dan dahaga serta menahan hawa nafsu. Dalam bulan Ramadhan yang sangat mulia ini ujian kesedihan dan kemurungan tidak ada. Tetapi ujian yang aku harus lalui ialah kesan sampingan ubat baru yang aku ambil atas arahan Dr Tuti. Tanganku menggigil dan aku kerap membuang air kecil.

Dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6 yang seringkali aku ulang dalam blog mengatakan: “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”. Jadi yakinlah dengan janji Allah. Banyak lagi janji Allah di dalam Al-Quran yang perlu kita baca, faham dan tadabbur. Rukun Iman dapat dilaksananakan dengan baik apabila kita memahami Al-Quran dan Sunnah.

Kesembuhan pula dapat aku rasakan sekarang walaupun mungkin tidak sepenuhnya. Mungkin juga ini semua berkat kesabaran aku untuk terus berusaha, berdoa dan bertawakal. Tugas kita memang untuk berusaha, berdoa dan bertawakal. Dan yang layak menilai usaha dan kesabaran serta yang layak memenuhi keperluan kita adalah Allah SWT. Tetapi apabila sembuh jangan pula lupakan usaha, doa dan tawakal. Kita harus konsisten sepanjang masa dan bersyukur dengan apa yang Allah anugerahkan.